PENGUMUMAN

Salam kepada pengunjung blog ibnuabidin. Ingin dimaklumkan bahawa penerbitan video kuliah ust shamsuri yang diterbitkan oleh ibnuabidin motion picture telah dihentikan kerana hal perubahan tempat kerja yang menyukarkan rakaman video untuk dilakukan atas kekangan masa, tempat dan jarak. Untuk tidak menghampakan para pengunjung blog, ibnuabidin akan cuba dapatkan video-video yang diterbitkan oleh sahabat-sahabat lain yang mengikuti kuliah ust shamsuri. Segala kesulitan amatlah saya kesali.

Jazakallah di atas segala sokongan.

NAFSU SYAHWAT

SEGALA puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta generasi yang mengikuti jejak dan amal soleh mereka, amin.

Ibnuabidin ingin membincangkan mengenai satu tajuk yang cukup penting di dalam kehidupan manusia tidak kira muda atau tua iaitu NAFSU SYAHWAT. Apakah itu nafsu syahwat? Satu persoalan yang semua orang tahu malah lebih memahaminya.

Nafsu syahwat atau lebih dikenali dengan istilah nafsu seks adalah suatu keinginan untuk bersetubuh antara dua manusia yang berlainan jantina. Tetapi skop istilah ini boleh diperluaskan lagi dengan keinginan menjalinkan hubungan persetubuhan sesama jantina atau antara manusia dengan haiwan akibat dari kejahilan manusia itu sendiri.

Sesungguhnya hikmah Allah SWT menjadikan nafsu seks ke atas manusia adalah untuk memastikan manusia memperolehi kelazatan dan kenikmatan dari persetubuhan yang sihat dan dibenarkan syarak iaitu melalui ikatan perkahwinan. Namun, di zaman yang penuh dengan kemajuan teknologi yang kononnya manusia hidup dalam peradaban yang tinggi, kita dapati kes-kes zina amat berleluasa di kalangan remaja Islam kita. Ibnuabidin amat sedih sekali kerana Malaysia dilanda dengan satu musibah yang besar yakni kehancuran warga belianya. Kini, pelajar sekolah pula sudah mula berani melibatkan diri di dalam perkara maksiat ini dan yang lebih teruk lagi ada pula yang sanggup merakamkan aksi keji tersebut dan diedarkan kepada rakan-rakan yang lain.

Allah SWT juga menjadikan nafsu seks sebagai cara untuk meramaikan manusia dan bukannya untuk meramaikan mayat bayi di sungai, longkang dan tong sampah. Inilah jadinya apabila manusia sudah mula bersifat melebihi haiwan. Kucing pun sayang anaknya. Itulah sikap manusia, sudahlah berzina malah membuang anak pula. Sudahlah berdosa kepada Allah malah ditambah lagi dosa kepada Allah. Tidak ada langsung sekelumit ketakutan kepada Allah yang MAHA AGUNG. Tunggulah azab yang amat pedih di akhirat nanti kecuali taubat diterima oleh Allah SWT.

Tidak memenuhi keperluan seksual boleh menyebabkan akal fikiran menjadi tumpul dan pegangan agama pula menjadi lemah. Kerana itu, ramai yang cenderung untuk melakukan onani, homoseksual dan lesbian. Memandangkan nafsu syahwat yang di luar kawalan akal adalah sangat berbahaya, maka sesetengah orang bijak pandai ada berkata: "Apabila zakar lelaki itu telah bangun (tegang dan berereksi), nescaya telah hilang dua pertiga dari akalnya." Sehubungan dengan bahaya nafsu seks ini, Nabi Muhammad SAW mengajarkan umatnya sepotong doa berikut:

"Aku berlindung dengan Allah SWT dari kejahatan pendengaranku, penglihatanku, hatiku, keseronokanku, dan dari air maniku."

Doa yang diajarkan oleh baginda menerusi hadith di atas adalah sebagai ingatan bahawa air mani yang keluar dengan cara-cara tidak halal aadalah satu perbuatan dosa. Oleh yang demikian, Ibnuabidin amat mengharapkan agar para pembaca dan Ibnuabidin sendiri akan mempraktikkan doa ini untuk menjauhi diri dari perkara-perkara yang akan merugikan kita kelak.

Keinginan seks sebenarnya adalah salah satu dari tentera syaitan untuk memperdayakan manusia. Nafsu syahwat terhadap wanita yang sangat keterlaluan mempunyai dua kesan yang sangat buruk iaitu:

1. Kehidupan seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu seksnya akan disibukkan untuk menyalurkan kemahuan seksnya seperti berzina, onani dan sebagainya.

2. Nafsu syahwat yang melampau akan berkesudahan dengan ketagihan dan ini akan menyebabkan seseorang itu tidak akan puas terhadap persetubuhan. Padahal dia dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi orang yang taat dan sentiasa beribadat kepadaNya tetapi sebaliknya dia hanya taat kepada tuntutan nafsu seksnya yang melampau.

Ibnuabidin ingin mengajak semua orang Islam agar sentiasa berperang menangani nafsu seks dan mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT. Pintu taubat masih terbuka luas. Ayuh! Marilah kita tunjukkan ketaatan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Seandainya kita tidak mampu melawan kehendak nafsu seks, Islam mengenengahkan cara penyelesaiannya dengan berpuasa dan berkahwin. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Wahai para pemuda, hendaklah kamu berkahwin, jika belum mampu, maka berpuasalah, kerana ianya boleh menjadi ubat bagi nafsu syahwat."

Ibnuabidin mendoakan agar kita semua diampunkan Allah SWT atas segala dosa yang kita lakukan. MARILAH MENUJU CINTA KEPADA ALLAH.